PASUKAN UiTM raih kejayaan berganda.
Kuala Lumpur: Universiti Teknologi MARA (UiTM) dinobatkan juara keseluruhan Karnival Sukan Masum 2023 Fasa 2 yang berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Kontinjen UiTM sukar dicabar apabila berjaya mengumpul 17 pingat emas, 8 perak dan 13 gangsa manakala pencabar terdekat Universiti Putra Malaysia (UPM) di tempat kedua dengan 9 emas, 3 perak dan 5 gangsa.
Kejayaan itu membolehkan UiTM muncul juara berganda selepas mengungguli Fasa 1 di Universiti Islam Malaysia (USIM) selain mengekalkan kejuaraan empat tahun berturut-turut dengan kutipan pingat keseluruhan Fasa 1 dan Fasa 2 sebanyak 36 emas, 27 perak dan 29 gangsa.
Timbalan Naib Canselor (HEP) UiTM, Profesor Dr Haji Mohd Sazili Shahibi berkata, kejayaan itu hasil usaha dan semangat dipamerkan atlet serta pegawai.
“UiTM berjaya mendominasi beberapa acara sukan di sepanjang kejohanan ini seperti taekwondo, memanah, petanque, basikal MTB, silat dan juga bola baling.
“Pasukan sofbol wanita UiTM juga menyumbangkan pingat emas setelah beberapa tahun acara ini tidak dipertandingkan di Karnival Sukan Masum.”
Recent Comments