TAMMY Tan (dua dari kiri) bersama Ang Qi Yue (kiri), Mandy Chen (dua dari kanan) dan Calvin Lee (kanan) yang menghadiahkan pingat di Universiade. FOTO Aizuddin Saad.
Sepang: Atlet wushu negara, Tammy Tan sedia menggalas tugas lebih besar di kejohanan lain termasuk Sukan Sea dan Asia sekiranya diberi kepercayaan untuk mewakili negara.
Tammy berjaya membalas kepercayaan diberikan oleh Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) apabila melakar sejarah menamatkan penantian 38 tahun untuk meraih pingat emas pertama Malaysia pada temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Chengdu, China.
“Setiap daripada kami mempunyai misi masing-masing dan saya diberi peluang beraksi di Universiade. Akhirnya saya dapat memenuhi impian untuk memenangi pingat emas.
“Untuk kejohanan atau temasya sukan lain, saya akan berikan yang terbaik sekiranya diberi peluang mewakili negara. Jika tidak, saya masih perlu terus menjalani latihan dan bersedia pada bila-bila masa untuk mana-mana kejohanan.
“Sebenarnya saya sendiri tak jangka dapat memenangi emas di Universiade kerana saya mengenali beberapa lawan saya. Sudah tentu saya amat bangga dengan kejayaan ini,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2, hari ini.
Minggu lalu, atlet berusia 22 tahun itu mengungguli acara Qiangshu wanita, selepas mencatat 9.613 mata pada saingan di Chengbei Gymnasium.
Atlet Macau, Weng Ian Wong (9.593) dan Lydia Sham (9.583) dari Hong Kong, masing-masing meraih perak dan gangsa.
Selain emas yang disumbangkan oleh Tammy, skuad negara juga pulang dengan meraih tiga gangsa menerusi Calvin Lee (Nangun lelaki), Mandy Chen (Taijiquan wanita) dan Ang Qi Yue (Daoshu lelaki).
Sementara itu, Presiden WFM, Datuk Chong Kim Fatt berkata, Tammy sememangnya akan diberi peluang beraksi di Sukan Sea Thailand 2025.
“Tapi dia harus bekerja dan berlatih lebih kuat bagi menunjukkan bahawa dia benar-benar mempunyai kualiti terpilih ke Sukan Sea Thailand. Bukan kerana kejayaannya di Universiade,” katanya.
Recent Comments