Perarakan masuk Kontinjen sukan pada majlis perasmian kejohanan SIPMA Ke-9 2023 di Stadium UPSI Tanjung Malim, baru-baru ini. (Foto Genes Gulitah/BH)
TANJUNG MALIM: Temasya Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) Ke-9 2023 secara rasmi menyingkap tirai dengan suasana penuh gilang-gemilang di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, malam kelmarin.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata SIPMA adalah satu-satunya temasya sukan bertaraf kebangsaan khususnya bagi atlet institut pendidikan yang dikelolakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) setiap dua tahun sekali secara bergilir- gilir.
Katanya, kali ini KPM diberi tanggungjawab menganjurkan SIPMA dan Majlis Sukan Institut Pendidikan Guru Malaysia (MSIPGM) dipilih untuk menjadi pengelola temasya terbabit.
“Tanggungjawab ini cabaran besar kepada KPM bagi memastikan pengelolaan dan penganjurannya dapat dilaksanakan dengan cemerlang.
“Pihak KPM akan menggembleng tenaga bagi memastikan segala usaha dan keringat yang dicurahkan bagi pengelolaan temasya ini tidak sia-sia, malah mampu memberi impak serta mencapai objektif penganjurannya,” katanya .
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan SIPMA Ke-9 2023 di Stadium UPSI Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City yang berakhir Ahad ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KPM, Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Pkharuddin Ghazali; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UPSI, Datuk Seri Rohani Parkash Abdullah; Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof Dr Norkhalid Salimin dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Pengelola, Dr Rosli Yacob.
Majlis itu diserikan dengan persembahan tarian dan nyanyian, perarakan masuk kontinjen, pengenalan Maskot SIPMA iaitu Ayam Jantan dikenali Jalak serta pertunjukan bunga api.
Fadhlina berkata, gelanggang SIPMA sunyi sejak bermulanya perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 2019 dan kali terakhir penganjuran SIPMA iaitu SIPMA ke-8 yang dikelolakan, Majlis Sukan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Malaysia (MASISWA) di Selangor.
Sehubungan itu, katanya, SIPMA ke-9 yang sepatutnya dilaksanakan pada 2021 terpaksa ditangguhkan disebabkan penularan pandemik COVID-19.
“Temasya ini dianjurkan bertujuan mencungkil bakat atlet disamping menyediakan peluang kepada pelajar untuk pertandingan yang lebih kompetitif, meningkatkan integrasi nasional dalam kalangan pelajar serta meningkatkan kerjasama agensi pendidikan melalui sukan.
Serlah bakat pelajar IPT
“SIPMA juga sebagai gelanggang untuk pelajar menyerlahkan bakat dan potensi dalam bidang sukan sekali gus mewujudkan persaingan sihat sehingga melahirkan atlet bertaraf antarabangsa.
“Atlet yang berjaya dicungkil bakat oleh KPM dan KPT melalui penganjuran SIPMA juga diberi peluang bertanding di peringkat antarabangsa.
“Buktinya, nama seperti Khairul Hafiz Jantan (jaguh pecut Asia Tenggara), Muhammad Aqil Yasmin dan Welson Sim (renang) dan Tia’a Faang Der (skuasy), lahir daripada SIPMA Ke-8,” katanya .
Temasya berkenaan mula dipertandingkan sejak 2005 yang membabitkan lapan majlis sukan di bawah KPM dan KPT.
Ia termasuklah MSIPGM, MASISWA, Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), Majlis Sukan Kolej Komuniti Malaysia (MASKOM), Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSPM), Majlis Sukan Matrikulasi Malaysia (MSMM) dan Majlis Sukan Kolej Vokasional (MASKoV).
Beliau berkata, selaras dengan hasrat kerajaan, pemilihan tema SIPMA iaitu ‘SIPMA Pemangkin Perpaduan Negara’ amat sesuai dan seiring hasrat kerajaan yang memberi tumpuan kepada perpaduan negara.
Menurutnya, SIPMA juga menghimpunkan mahasiswa dari pelosok seluruh negara, dari negeri Perlis sehinggalah ke Sabah dan setiap negeri diwakili oleh mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) daripada pelbagai kaum serta etnik.
“Ini sudah tentu memberi peluang untuk mahasiswa berinteraksi antara satu negeri dengan negeri yang lain, antara satu daerah dan daerah lain malah satu kaum dengan satu kaum lain.
“Sekiranya ada tembok dan halangan kenegerian, kedaerahan atau perkauman maka ketika inilah tembok itu akan runtuh dan lebur kerana atlet dijalinkan dengan satu perkataan iaitu SIPMA.
“Di samping bertanding secara sihat, sudah pasti integrasi nasional juga dapat dicapai melalui penganjuran SIPMA yang akhirnya tercapailah hasrat kerajaan bagi menjadikan negara ini sebagai negara perpaduan,” katanya.
Penganjuran SIPMA juga selari dengan kerangka dasar Malaysia Madani dengan berpaksi kepada tonggak kesejahteraan yang membawa makna keseimbangan kehidupan, seterusnya membina masyarakat sihat.
SIPMA mendukung prinsip dan tonggak kesejahteraan kerana ia selari dengan Dasar Sukan Negara (DSN) yang menggariskan dua peranan utama IPT iaitu untuk menggalak pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti sukan secara aktif dan menyediakan peluang belajar kepada atlet sukan IPT.
Katanya, bagi mencapai keseimbangan dan kesinambungan prestasi akademik dan pencapaian dalam sukan, KPM akan memainkan peranan khusus bagi menjaga kebajikan pelajar yang aktif dalam sukan tanpa mengabaikan pembangunan akademik.
Beliau berkata, bagi mencapai impak penganjuran kepada kumpulan sasar, mekanisme dan strategi bagi memperkasa bakat dan potensi atlet perlu seiring.
Justeru, Fadhlina berharap semua majlis sukan lebih giat berperanan melahirkan bakat baharu yang seimbang secara intelektual dan sukan.
Baca Artikel Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/09/1152617/sipma-medan-lahirkan-atlet-kebangsaan-antarabangsa
Recent Comments